Perutusan Penasihat

Pengerusi Kospema
LATIFAH BINTI RAZALI
Pengerusi
Koperasi Pekerja Majlis Perbandaran Seberang Perai Berhad
   
starter
   
Sekalung penghargaan dan tahniah kepada KOSPEMA Berhad kerana berjaya membangunkan laman web KOSPEMA Berhad. Penyediaan laman web ini berjaya direalisasikan hasil kerjasama dan bantuan semua pihak iaitu Anggota Lembaga Koperasi, Anggota Koperasi dan juga Jabatan Informasi dan Teknologi Maklumat, Majlis Bandaraya Seberang Perai serta cetusan idea dan pandangan dari pelbagai pihak terutama pihak Pengurusan Tertinggi MBSP iaitu Datuk Bandar dan Tuan Setiausaha Bandaraya.
   
Dengan menyediakan pengurusan laman web ini dapat memperkukuhkan penyampaian maklumat dan perkhidmatan yang ditawarkan kepada ahli - ahli koperasi selaras dengan perkembangan teknologi secara digilitasi. Selain itu sebarang aktiviti yang dilaksanakan dapat diwar - warkan dalam laman web ini.
   
Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih terutamanya kepada barisan Anggota Lembaga Koperasi (ALK) di atas kegigihan serta kesungguhan dalam memastikan koperasi ini terus berkembang maju dan mampu berdaya saing serta menjadi antara koperasi terbaik di Pulau Pinang. Manakala kepada ahli - ahli koperasi KOSPEMA Berhad saya mengucapkan ribuan terima kasih atas amanah yang diberikan kepada saya selaku Pengerusi dan barisan ALK untuk terus berkhidmat dan memberi perkhidmatan yang terbaik.
   
Untuk makluman KOSPEMA Berhad telah ditubuhkan pada tahun 2004 atas usaha dan inisiatif daripada mantan Setiausaha Perbandaran, MPSP yang lalu iaitu Encik Zainol Abidin bin Md Noh yang mana asas penubuhannya adalah bermatlamat untuk meningkatkan kepentingan ekonomi para anggotanya dengan menyediakan kemudahan dan perkhidmatan yang diperlukan oleh anggotanya.
   
Pada awal penubuhannya iaitu pada tahun 2004 hanyalah seramai 45 orang anggota sahaja. Kini, sehingga bulan September 2022 keanggotaan KOSPEMA Berhad telah meningkat kepada 549 orang anggota di samping memiliki jumlah yuran dan syer melebihi RM2 juta. Saya menjangkakan keanggotaan dan modal syer akan terus meningkat pada tahun - tahun yang akan datang berdasarkan pelbagai inisiatif dan aktiviti - aktiviti perniagaan yang dilaksanakan.
   
Antara inisiatif dan aktiviti adalah merangkumi aktiviti ekonomi, kebajikan dan sosial, pembiayaan, lawatan dan sebagainya selain berusaha membuat penjimatan perbelanjaan pengurusan. Namun begitu KOSPEMA Berhad masih lagi mensasarkan pendapatan jauh lebih tinggi dan usaha kearah matlamat ini akan digandakan oleh barisan kepimpinan Anggota Lembaga Koperasi khasnya serta Anggota Koperasi sendiri pada masa yang akan datang.
   
Pada masa kini, barisan Anggota Lembaga Koperasi masih lagi optimis dan menggerakkan usaha-usaha promosi beberapa projek lain seperti penyediaan dan kemudahan perkhidmatan pembaharuan pembiayaan insuran kenderaan / cukai jalan, projek-projek bekalan dan sebagainya.
   
Justeru, saya beserta ALK yang lain dengan penuh harapan akan terus menumpukan kepada usaha - usaha bagi mencatatkan peningkatan pendapatan serta menerokai bidang - bidang perniagaan baharu. Kejayaan ini hanya akan dicapai sekiranya sokongan dan kerjasama yang berterusan diberikan oleh Anggota Lembaga Koperasi sendiri, Anggota Koperasi serta komitmen penuh daripada pengurusan atasan MBSP.
   
Akhir kata, saya dan ALK merakamkan ucapan terima kasih di atas sokongan padu yang diberikan dan kami berjanji akan terus berusaha dengan penuh dedikasi memajukan koperasi kita.
   
Sekian, wabillahhi taufik walhidayah wassalammualaikum warahmatullahhi wabarakatuh.
   
Ikhlas dari saya,
   
LATIFAH BINTI RAZALI
Pengerusi
Koperasi Pekerja Majlis Perbandaran Seberang Perai Berhad